Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan, berkenan berangkat bagi merasmikan Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi'i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin; dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Pengerusi Bersama Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi'i.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Setelah itu, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran surah Al-'Alaq, bermula dari ayat 1 hingga 19, yang dibacakan oleh mahasiswa Tahun 1, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Awang Hamiz Mirza bin Haji Sudirman disusuli dengan sembah alu-aluan dari Rektor UNISSA.
Majlis diteruskan dengan sabda Duli Yang Teramat Mulia, dan diikuti dengan sabda perasmian persidangan tersebut oleh DYTM.
DYTM kemudian berkenan menyempurnakan pelancaran buku.
Majlis diteruskan dengan pembentangan Kertas Perdana yang mengupas tema persidangan yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sebelum berangkat balik, DYTM dijunjung berangkat bagi menyaksikan buku-buku terbitan terbaharu Jabatan Mufti Kerajaan dan UNISSA.
Sebanyak 14 buah buku yang dilancarkan adalah himpunan fatwa berjilid yang menghimpunkan Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dari tahun 1994 hingga 2023.
Buku tersebut mengandungi fatwa yang difatwakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan ia mula diterbitkan pada tahun 1994.
Di samping memberikan jawapan hukum, buku tersebut secara tradisi mempunyai ciri-ciri penyebaran ilmu pengetahuan Islam yang ada kaitan dengan hukum yang disampaikan.
Ciri sedemikian menjadikan hukum yang diputuskan senang dihayati. Buku Fatwa Mufti Kerajaan diterbitkan setiap tahun.
Manakala, sebanyak 13 buah buku yang diterbitkan oleh Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA termasuk buku-buku yang bertajuk: Khazanah Mazhab Syafi'i di Negara Brunei Darussalam; Mazhab Syafi'i di Alam Melayu: Penyerasian Pemikiran Maqasidi dan Hukum-Hakam Masjid Terbiar dalam Perspektif Mazhab Syafi'i di Negara Brunei Darussalam.
Tema Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi'i iaitu 'Mazhab Syafi'i dalam era digital: Relevan dan Cabaran'.
Masyarakat era digital ialah sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal.
Jika Masyarakat 4.0 hanya mampu mengakses maklumat atau berbagai-bagai bentuk informasi di alam maya tetapi Masyarakat 5.0 ini dapat menganalisa maklumat tersebut menggunakan 'Kecerdasan Buatan' atau Artificial Intelligent (AI), dan hasil tersebut dikembalikan kepada manusia di ruang nyata dalam berbagai-bagai bentuk yang mengatasi kemampuan manusia.
Kesannya, proses ini akan memberikan nilai baharu kepada industri dan masyarakat yang sebelum ini adalah mustahil dilakukan oleh manusia.
Persidangan tersebut akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini merupakan anjuran yang diterajui bersama oleh UNISSA dan Jabatan Mufti Kerajaan dengan kerjasama strategik daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara, antaranya Fakulti Syariah, UNISSA; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia; Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, Malaysia; Majelis Ulama Indonesia; Universitas Islam Negeri, Sunan Ampel Surabaya; The World Islamic Science & Education University (Wise), Jordan dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar, Brunei Darussalam.
Di samping itu, Persidangan itu juga diadakan bersempena dengan Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 (Brunei MYCE 2025).
Dengan adanya Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi'i ini diharapkan membincangkan topik-topik kontemporari dan bersesuaian dengan tema persidangan tersebut bersempena dengan 60 tahun tertubuhnya institusi fatwa di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, sebuah Kertas Perdana, 12 Kertas Ucaptama serta sebanyak 108 pembentang selari dan seramai 203 peserta dari dalam dan luar negara; Singapura, Indonesia dan Malaysia terlibat di sepanjang dua hari Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi'i diadakan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto